9.2.10

Terpaut Objek Selesa

Tabiat tidak mahu berjauhan dengan “objek-selesa” dipanggil clinging behaviour atau tingkah laku yang bergantung kepada sesuatu benda dan tidak mahu berenggang dengannya.

Ia tidak terhad kepada bantal atau anak patung sahaja, sesetengah kanak-kanak menjadikan kain selimut, botol susu dan seumpamanya sebagai objek selesa mereka.
Tingkah laku pautan (clinging behaviour) adalah sikap biasa yang sering terjadi kepada bayi dan kanak-kanak.

Biasanya tabiat itu bermula di rumah dan berlaku kepada kanak-kanak yang kurang stimulasi dan mahukan sesuatu atau peneman untuk menenangkan diri mereka.
Kanak-kanak yang begini akan memegang bantal, kain, botol susu atau anak patung sebelum tidur kerana rasa ingin ada seseorang bersama mereka.

Perlakuan menggentel bantal, kain atau putting susu ini seakan memberi kanak-kanak
tadi ketenangan dan keselesaan sehingga menjadikan mereka asyik. Dengan keasyikan menggentel bantal tadi membuatkan mata mereka mudah terlelap dan perkara ini berulang-ulang sehinggalah ia menjadi satu tabiat yang sukar dikikis..

Ini merupakan satu cara untuk mereka berkomunikasi dan objek-selesa dipanggil teman imaginasi (imaginary friends). Sebenarnya mereka mahukan seseorang untuk meluahkan perasaan. Maka ia disalurkan kepada teman imaginasi tadi.

Satu lagi punca tingkah laku yang bergantung kepada sesuatu ini juga disebabkan oleh rasa ingin selamat. Kanak-kanak kecil belum memahami konsep “kehilangan sementara”.
Mereka tidak faham bahawa sesuatu benda yang hilang itu akan muncul kembali dan kerana itu mereka mahukan ada sesuatu yang menjadi peneman mereka. Mereka rasa selamat dan tidak ditinggalkan keseorangan.

Ibu bapa tidak perlu terlalu risau dengan tabiat ini kerana ia bersifat sementara. Tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengelakkan tabiat ini daripada berterusan dan perlu cuba memisahkan anak dengan “rakan karib” mereka ini secara perlahan-lahan.

Masa yang terbaik memisahkan kanak-kanak ini adalah ketika umur mereka mencecah tiga tahun. Sebaliknya jika dibiarkan perlakuan ini mungkin akan berterusan sehingga mereka dewasa.

Namun, terdapat juga kanak-kanak yang boleh berpisah dengan teman akrab mereka ini dengan sendirinya selepas memasuki sekolah kerana malu kepada rakan-rakan yang lain.

Tabiat memiliki objek selesai ini hingga dewasa bukan perkara yang mustahil. Memanglah tidak ada kesan sampingan, tetapi tabiat ini boleh berlarutan hingga dewasa dan sukar dikikis jika tidak dikawal.

Sesetengah individu sukar berpisah dengan tabiat ini disebabkan ibu bapa mereka terlalu mengikut kehendak anak yang mahukan objek-objek selesa sentiasa ada bersama.

No comments:

.......seindah mana taman bunga, indah lagi taman hati.......